Pages

Wednesday, October 16, 2013

BAHAN SEJARAH KERTAS 3 : MAPHILINDO

MALAYSIA, FILIPINA dan INDONESIA (MAPHILINDO)
MAPHILINDO merupakan cantuman nama tiga buah negara iaitu Malaysia, Filipina dan Indonesia. Tujuan utama penubuhnnya adalah untuk meningkatkan perhubungan persahabatan dan menyelesaikan pertelingkahan antara Malaysia – Filipina dan Malaysia – Indonesia.

Pertelingkahan yang timbul antara Malaysia dengan kedua – dua negara tersebut adalah disebabkan oleh cadangan pembentukan Malaysia. Indonesia tidak bersetuju dengan pembentukan Malaysia kerana Presiden Soekarno menganggap pembentukan Malaysia sebagai satu neokolonalisme atau penjajahan bentuk baru. Tentangan Filipina pula adalah kerana negara tersebut menuntut Sabah yang didakwanya masih menjadi hak milik negara mereka.

Bagi menyelesaikan pertelingkahan ini, Malaysia telah mengambil langkah rundingan dengan Filipina dan Indonesia. Rundingan ini akhirnya membawa kepada penubuhan MAPHILINDO. Ketiga – tiga negara ini telah mencapai kata sepakat memohon bantuan PBB untuk mendapatkan pandangan rakyat Sarawak dan Sabah tentang cadangan penubuhan persekutuan Malaysia. PBB telah menghantar perwakilannya pada tahun 1963 yang diketuai oleh Lawrence V. Michael More untuk meninjau rakyat di kedua – dua negeri berkenaan. Hasilnya, majority rakyat di kedua – dua negeri bersetuju dan menyokong pembentukan Malaysia. Sungguhpun begitu, Indonesia dan Filipina kurang berpuas hati dengan siasatan PBB dan terus menentang pembentukan Malaysia. Persengkataan yang berterusan ini menyebabkan MAPHILINDO telah tidak berperanan lagi.

BAHAN SEJARAH KERTAS 3 : DASAR LUAR MALAYSIA : PERSATUAN NEGARA-NEGARA ASIA TENGGARA


MALAYSIA DALAM PERTUBUHAN SERANTAU

Pertubuhan serantau merupakan satu pertubuhan yang keanggotaannya terdiri daripada negara – negara yang berjiran antara satu sama lain. Pembentukan pertubuhan ini adalah untuk kepentingan politik, ekonomi atau sosial.

Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, terdapat tiga pertubuhan serantau yang telah dibentuk dan disertainya iaitu ASA pada tahun 1961, MAPHILINDO pada tahun 1963 dan ASEAN pada tahun 1967.

Persatuan Negara – Negara Asia Tenggara (ASA)

Setelah mencapai kemerdekaan, negara kita dan juga negara – negara serantau diancam hebat oleh pengaruh komunis. Di Malaysia, pergerakan PKM telah memainkan peranan penting menyebarkan pengaruh fahaman komunis di kalangan rakyat. PKM telah diharamkan oleh kerajaan dan ini menyebabkan ahli – ahlinya melancarkan gerakan gerila bagi menjatuhkan kerajaan.

Di negara – negara jiran, ancaman komunis juga hebat terutamanya di Thailand yang bersempadan dengan Malaysia. PKM telah menggunakan sempadan Malaysia – Thailand sebagai pangkalan gerakan gerila mereka dan ini menyukarkan usaha kedua – dua negara untuk melemahkan dan seterusnya menghapuskan gerakan komunis. Begitu juga dengan negara Filipina yang turut diancam oleh pengaruh komunis.

Malaysia ingin mengadakan kerjasama dengan negara – negara jiran agar dapat membendung pengaruh dan gerakan PKM. Oleh itu, Tunku Abdul Rahman telah mencadangkan penubuhan ASA. Pertubuhan ini diharapkan dapat melindungi negara – negara anggota daripada ancaman komunis dan juga menjalinkan kerjasama dalam bidang ekonomi dan sosial.

Pada 31 Julai 1961, satu mesyuarat diadakan di Bangkok antara Malaysia dengan Thailand dan Filipina, hasilnya ASA telah ditubuhkan. Antara matlamat ASA yang digalurkan semasa penubuhannya termasuklah:

Menjalinkan kerjasama di kalangan negara anggota dalam bidang ekonomi, sains dan sosial.
Memberikan dan menyediakan kemudahan latihan dan penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi di kalangan negara anggota.
Mengekalkan serta menjamin keselamatan dan kestabilan politik negara – negara serantau.

Walau bagaimanapun, matlamat tersebut tidak banyak dicapai kerana keadaan kerjasama yang erat. ASA juga dianggap sebagai pertubuhan antipemerintahan Presiden Soekarno di Indonesia. Kesangsian ini timbul kerana Malaysia mempunyai perjanjian ketenteraan dengan Amerika Syarikat. Pertelingkahan antara Malaysia dengan Filipina tentang penubuhan persekutuan Malaysia telah membawa kepada pembubaran ASA pada tahun 1963.

BAHAN SEJARAH KERTAS 3 : MALAYSIA DAN ASEAN

Matlamat Penubuhan ASEAN 

• Mengekalkan kestabilan politik rantau Asia Tenggara. 
• Membantu antara satu sama lain dalam bidang ekonomi, sosial dan kebudayaan. 
• Meningkatkan taraf hidup penduduk melalui kerjasama dalam bidang pertanian, perdagangan dan perindustrian. 
• Memberikan kerjasama dan membantu dalam bentuk latihan dan penyelidikan. 
• Mengadakan hubungan erat dengan pertubuhan serantau dan antarabangsa. 

Peranan dan Sumbangan Malaysia Sebagai Anggota ASEAn 

• Menandatangani Deklerasi Kuala Lumpur pada November 1971. 
• Memberi kata sepakat mengisytiharkan negara-negara ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) 
• Mengatasi masalah pencerobohan Vietnam ke atas Kampuchea. 
• Turut serta dalam mesyuarat bagi membentuk kerajaan Demokratik Campuran Kampuchea. 
• Membuat keputusan ASEAN ialah Zon Bebas Senjata Nuklear. 
• Mengisytiharkan larangan menggunakan perairan dan pelabuhannya untuk mana-mana kapal yang mengangkut bahan atau senjata nuklear. 
• Bekerjasama dalam projek perindustrian, contohnya projek baja urea. 
• Menyertai kerjasama ekonomi melalui AFTA. 
• Mengemukakan idea mewujudkan Perundingan Ekonomi Asia Timur (EAEC) bagi memperluaskan kerjasama ekonomi yang melibatkan China, Jepun dan Korea Selatan. 
• Menghadiri siri perbincangan tentang kerjasama ASEAN + 3. 
• Memberikan kerjasama dalam bidang pendidikan dengan menyertai Pertubuhan Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN (SEAMEO). 
• Membina Pusat Serantau untuk Sains dan Matematik (RECSAM) di Pulau Pinang. 
• Mengadakan kerjasama dalam bidang kebudayaan dan sosial seperti mengadakan festival kebudayaan dan kesenian. 
• Bersama-sama menubuhkan Tabung Kebudayaan ASEAN. 
• Mengadakan pertukaran rancangan televisyen dan radio. 
• Menganjurkan Sukan SEA. 
• Menjalinkan kerjasama menyertai Tahun Melawat ASEAN 1992. 

Tuesday, October 8, 2013

CONTOH SOALAN KERTAS 3 SPM 2013


TEMA  UMUM : Malaysia dan Kerjasama Antarabangsa
Sejak mecapai kemerdekaan Malaysia telah menyertai dan bergerak aktif dalam pertubuhan serantau.

1.       Pengenalan
Jelaskan latar belakang penglibatan Malaysia dalam menjalinkan hubungan serantau.
2.       Terangkan faktor Malaysia menjalinkan hubungan di peringkat antarabangsa dan serantau.
3.       Huraikan perkembangan hubungan serantau Malaysia melalui
·         ASA
·         MAPHILINDO
·         ASEAN
4.       Jelaskan usaha-usaha Malaysia dalam mewujudkan keamanan serantau
5.       Faedah-faedah yang Malaysia dapat melalui hubungan serantau.
6.       Isu di peringkat ASEAN dan penelesaian ang diambil Malaysia
7.       Iktibar
8.       Rumusan

contoh soalan kertas spm 2013


A
Soalan ramalan kertas 3 spm 2013
1. Jelaskan latar belakang penglibatan Malaysia dalam pertubuhan serantau.
2. Huraikan faktor-faktor yang menjadi asas pengubalan dasar luar Malaysia.      
@ Terangkan faktor-faktor Malaysia menjalinkan hubungan di peringkat serantau
                              
3.  Jelaskan hubungan serantau Malaysia  melalui pertubuhan berikut;
(i) ASA
(ii) MAPHILINDO
(iii) ASEAN
@  Huraikan perkembangan Pertubuhan serantau yang disertai oleh Malaysia melalui
(i) ASA
(ii) MAPHILINDO
(iii) ASEAN

4. Jelaskan usaha-usaha Malaysia dalam mewujudkan keamanan serantau.

5. Pada pandangan anda, apakah faedah / kepentingan yang diperolehi Malaysia melalui penyertaan dalam pertubuhan serantau?
@Terangkan bagaimana Malaysia memainkan peranan dalam memacu pertubuhan ASEAN
@ Huraikan peranan dan sumbangan Malaysia dalam pertubuhan serantau

6. Jelaskan isu / cabaran yang sering menggugat keharmonian hubungan baik Malaysia dengan negara-negara serantau dan nyatakan langkah-langkah Malaysia dalam menghadapinya
(Isu / cabaran yang dihadapi oleh Malaysia dalam hubungan negara serantau & langkah Malaysia dalam menghadapinya)
7. Nyatakan nilai-nilai murni atau iktibar yang diperoleh daripada penglibatan Malaysia dalam kerjasama serantau
8. Rumusan       
·         Pengetahuan yang diperoleh
·         Iktibar kepada diri, bangsa dan negara
·         Harapan untuk masa depan Malaysia yang lebih aman dan makmur 


Monday, October 7, 2013

BAHAN SEJARAH KERTAS 3 SPM 2013

BAHAN SEJARAH KERTAS 3 SPM 2013

ASEAN model selesai masalah serantau

PUTRAJAYA 14 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu perkongsian keamanan dan keselamatan diutamakan bagi negara-negara ASEAN berbanding kerjasama dan latihan ketenteraan berbentuk eksklusif.
Perdana Menteri berkata, ia sebagai usaha melebarkan pembentukan perlindungan keselamatan dan integriti serantau.

Serentak itu, beliau menggariskan enam prinsip praktikal bagi mengukuhkan kerjasama itu dengan cara ASEAN perlu dijadikan model dalam menyelesaikan sebarang masalah di kalangan negara anggota tanpa menafikan kepentingan kerjasama ketenteraan dua hala.

Dalam aspek ini, Najib menarik perhatian bahawa sebarang perbezaan dan kepentingan yang tidak dikendalikan secara berhati-hati akan menggagalkan keyakinan dan langkah kerjasama keselamatan serantau.
Menurut beliau, prinsip pertama ialah kepentingan untuk mengiktiraf sepenuhnya peranan setiap negara anggota sama ada yang miskin atau kaya dan kecil atau besar di samping tidak meminggirkan pihak berkepentingan tambahan bagi rantau ini terutama dalam suasana persekitaran globalisasi.

''Dalam hal ini, penyusunan kerjasama perlu inklusif dan setiap pihak berkepentingan diberikan ruang mencukupi dan penghormatan dalam membangkitkan sebarang isu.
''Pengalaman lepas menunjukkan susunan inklusif seperti Organisasi Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OCSE) telah terbukti berkesan dalam memelihara keamanan dan memberikan maklum balas kepada cabaran-cabaran keselamatan serantau melalui cara kerjasama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Putrajaya bertemakan 'Kemunculan Senibina Keselamatan Serantau' yang dianjurkan oleh Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas) di sini hari ini.

Seramai 250 pemimpin tertinggi pertahanan daripada 16 negara berkumpul di sini selama tiga hari bagi membincangkan isu-isu pertahanan dan keselamatan di rantau ini.
Dalam penganjurkan kali pertamanya, forum dwitahunan itu dihadiri oleh 250 pemimpin tertinggi pertahanan 16 negara membabitkan anggota ASEAN+8 bagi membincangkan isu-isu pertahanan dan keselamatan rantau ini.

ASEAN+8 merupakan satu persetujuan antara ASEAN dan lapan rakan dialog iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Rusia dan Amerika Syarikat (AS) yang ditubuhkan bertujuan memperkukuhkan usaha memupuk persefahaman ke arah membina keamanan serantau.
Midas adalah sebuah institusi profesional di bawah Kementerian Pertahanan yang dipengerusikan oleh menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Perdana Menteri seterusnya berkata, prinsip praktikal kedua pula memerlukan setiap anggota dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN+ diberikan pengiktirafan bahawa masing-masing mempunyai terma sejarah, budaya dan kedudukan ekonomi yang berbeza.

Ini sekali gus memerlukan pengurusan lebih fleksibel dan mengambil kira perbezaan keupayaan dan dasar setiap negara anggota.
''Prinsip ketiganya adalah berkisar membina langkah-langkah keyakinan bagi membantu dialog dan persefahaman yang lebih dalam di antara anggota," katanya.

Seterusnya, Najib berkata, pihaknya percaya kepada pembentukan pelbagai jaringan senibina keselamatan yang bukan saja melibatkan asas serantau termasuk penglibatan anggota rantau lain tetapi juga dalam konteks urusan dua hala negara-negara pesisir.

''Sebagai contoh Malaysia telah menubuhkan jawatankuasa sempadan melibatkan Thailand dan Indonesia dan sudah tentu penyusunan itu melibatkan keselamatan maritim di Selat Melaka melibatkan negara-negara pesisir dan inisiatif pemantauan dari ruang udara (Eye-In-The Sky) ," katanya.
Dalam prinsip kelima pula, Najib menjelaskan tentang keperluan menginstitusikan hubungan iaitu bukan sekadar hubungan di peringkat atasan pemimpin tentera sebaliknya ia juga mesti melibatkan hubungan di peringkat bidang operasi.

''Jika anda menjalankan operasi di satu kawasan, anda harus tahu tentang kedudukan rakan sejawat dan memahami pembahagian (kawasan), jadi jika berlaku sesuatu, maklum balas boleh dilakukan dengan cara yang tidak mendorong kepada ketegangan yang lebih besar dalam kawasan operasi tersebut," katanya.
Dalam prinsip praktikal terakhir pula, Najib mahu melihat cara ASEAN dijadikan model dalam menyelesaikan masalah serantau dan jiran-jirannya termasuk membabitkan masalah legasi yang tertangguh sejak bertahun-tahun lamanya melalui cara dialog dan rundingan.

''Apa yang penting ialah untuk bersetuju tentang sesuatu mekanisme sama ada memilih cara dialog atau rundingan. Jika memilih rundingan, anda perlu ada semangat kompromi dan bertolak ansur untuk mencapai penyelesaian atau menyelesaikannya melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama (PCA), jadi ia dapat diselesaikan dengan cara baik," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm#ixzz2h22rPqYp
© Utusan Melayu (M) Bhd