Pages

Monday, October 7, 2013

BAHAN SEJARAH KERTAS 3 SPM 2013

ASEAN model selesai masalah serantau

PUTRAJAYA 14 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu perkongsian keamanan dan keselamatan diutamakan bagi negara-negara ASEAN berbanding kerjasama dan latihan ketenteraan berbentuk eksklusif.
Perdana Menteri berkata, ia sebagai usaha melebarkan pembentukan perlindungan keselamatan dan integriti serantau.

Serentak itu, beliau menggariskan enam prinsip praktikal bagi mengukuhkan kerjasama itu dengan cara ASEAN perlu dijadikan model dalam menyelesaikan sebarang masalah di kalangan negara anggota tanpa menafikan kepentingan kerjasama ketenteraan dua hala.

Dalam aspek ini, Najib menarik perhatian bahawa sebarang perbezaan dan kepentingan yang tidak dikendalikan secara berhati-hati akan menggagalkan keyakinan dan langkah kerjasama keselamatan serantau.
Menurut beliau, prinsip pertama ialah kepentingan untuk mengiktiraf sepenuhnya peranan setiap negara anggota sama ada yang miskin atau kaya dan kecil atau besar di samping tidak meminggirkan pihak berkepentingan tambahan bagi rantau ini terutama dalam suasana persekitaran globalisasi.

''Dalam hal ini, penyusunan kerjasama perlu inklusif dan setiap pihak berkepentingan diberikan ruang mencukupi dan penghormatan dalam membangkitkan sebarang isu.
''Pengalaman lepas menunjukkan susunan inklusif seperti Organisasi Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OCSE) telah terbukti berkesan dalam memelihara keamanan dan memberikan maklum balas kepada cabaran-cabaran keselamatan serantau melalui cara kerjasama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Putrajaya bertemakan 'Kemunculan Senibina Keselamatan Serantau' yang dianjurkan oleh Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas) di sini hari ini.

Seramai 250 pemimpin tertinggi pertahanan daripada 16 negara berkumpul di sini selama tiga hari bagi membincangkan isu-isu pertahanan dan keselamatan di rantau ini.
Dalam penganjurkan kali pertamanya, forum dwitahunan itu dihadiri oleh 250 pemimpin tertinggi pertahanan 16 negara membabitkan anggota ASEAN+8 bagi membincangkan isu-isu pertahanan dan keselamatan rantau ini.

ASEAN+8 merupakan satu persetujuan antara ASEAN dan lapan rakan dialog iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Rusia dan Amerika Syarikat (AS) yang ditubuhkan bertujuan memperkukuhkan usaha memupuk persefahaman ke arah membina keamanan serantau.
Midas adalah sebuah institusi profesional di bawah Kementerian Pertahanan yang dipengerusikan oleh menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Perdana Menteri seterusnya berkata, prinsip praktikal kedua pula memerlukan setiap anggota dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN+ diberikan pengiktirafan bahawa masing-masing mempunyai terma sejarah, budaya dan kedudukan ekonomi yang berbeza.

Ini sekali gus memerlukan pengurusan lebih fleksibel dan mengambil kira perbezaan keupayaan dan dasar setiap negara anggota.
''Prinsip ketiganya adalah berkisar membina langkah-langkah keyakinan bagi membantu dialog dan persefahaman yang lebih dalam di antara anggota," katanya.

Seterusnya, Najib berkata, pihaknya percaya kepada pembentukan pelbagai jaringan senibina keselamatan yang bukan saja melibatkan asas serantau termasuk penglibatan anggota rantau lain tetapi juga dalam konteks urusan dua hala negara-negara pesisir.

''Sebagai contoh Malaysia telah menubuhkan jawatankuasa sempadan melibatkan Thailand dan Indonesia dan sudah tentu penyusunan itu melibatkan keselamatan maritim di Selat Melaka melibatkan negara-negara pesisir dan inisiatif pemantauan dari ruang udara (Eye-In-The Sky) ," katanya.
Dalam prinsip kelima pula, Najib menjelaskan tentang keperluan menginstitusikan hubungan iaitu bukan sekadar hubungan di peringkat atasan pemimpin tentera sebaliknya ia juga mesti melibatkan hubungan di peringkat bidang operasi.

''Jika anda menjalankan operasi di satu kawasan, anda harus tahu tentang kedudukan rakan sejawat dan memahami pembahagian (kawasan), jadi jika berlaku sesuatu, maklum balas boleh dilakukan dengan cara yang tidak mendorong kepada ketegangan yang lebih besar dalam kawasan operasi tersebut," katanya.
Dalam prinsip praktikal terakhir pula, Najib mahu melihat cara ASEAN dijadikan model dalam menyelesaikan masalah serantau dan jiran-jirannya termasuk membabitkan masalah legasi yang tertangguh sejak bertahun-tahun lamanya melalui cara dialog dan rundingan.

''Apa yang penting ialah untuk bersetuju tentang sesuatu mekanisme sama ada memilih cara dialog atau rundingan. Jika memilih rundingan, anda perlu ada semangat kompromi dan bertolak ansur untuk mencapai penyelesaian atau menyelesaikannya melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama (PCA), jadi ia dapat diselesaikan dengan cara baik," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm#ixzz2h22rPqYp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment