Pages

Thursday, October 24, 2013

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

Subjek Sejarah perlu semai cintakan negara

KUALA TERENGGANU 6 Okt. - Pengajaran dan pembelajaran Sejarah di sekolah-sekolah perlu mencapai objektifnya bagi menyemai semangat patriotik dan kecintaan kepada negara, sekali gus mencetuskan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, usaha itu juga dapat memupuk nilai murni kalangan pelajar, kesetiaan kepada negara, mempunyai semangat kekitaan, berdisiplin serta sentiasa produktif.
Tambahnya, matlamat pendidikan Sejarah hanya akan boleh dicapai jika pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran itu mampu menarik minat dan perhatian murid atau pelajar.
Beliau turut menarik perhatian tentang langkah Kementerian Pendidikan melaksanakan Dasar Wajib Lulus Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun ini bagi mewujudkan persepsi positif terhadap kepentingan sejarah.
“Saya juga berharap keputusan Kementerian Pendidikan memulakan pembelajaran Sejarah di sekolah rendah mulai tahun depan diterima sepenuhnya oleh semua pihak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutup Karnival Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) Dalam Sejarah Sekolah Showcase i-Think Sempena Hari Kemerdekaan 2013 di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Bukit Besar di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan), Datuk Sufaat Tumin.
Majlis itu turut dihadiri Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Dr. Masnah Ali Muda; Pengarah Pelajaran Terengganu, Zakaria Hussin dan Guru Besar SK Pusat Bukit Besar, Hanizam Mohamad.
Idris berkata, matlamat pendidikan Sejarah adalah pembinaan bangsa dan negara agar bersatu padu, berpengetahuan selain menghargai negara serta para pemimpinnya.
Mengenai karnival berkenaan, jelas beliau, kejayaan program itu membuktikan Kementerian Pendidikan mendapat sokongan padu pelbagai pihak dalam memperkasakan mata pelajaran Sejarah bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan membina jati diri kalangan rakyat.
“Saya rasa semua pihak telah berusaha bersungguh-sungguh bagi menjayakan program yang dapat meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi kalangan murid terutamanya dalam subjek Sejarah," tambahnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131007/dn_14/Subjek-Sejarah-perlu-semai-cintakan-negara#ixzz2idZetWCn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment