Pages

Monday, October 7, 2013

BAHAN SEJARAH KERTAS 3 SPM 2013

Terputusnya hubungan diplomatik di antara Kuala Lumpur dan Manila (1962), konfrantasi Malaysia- Indonesia (1963), pemisahan Singapura daripada Malaysia (1965), Perang Vietnam dan Revolusi Kebudayaan di negara China, semuanya memisah dan menimbulkan rasa sangsi di kalangan negara di rantau itu. Namun dengan usaha gigih negara-negara anggota, ASEAN telah ditubuhkan bagi menyediakan rangka kerja dan mekanisma untuk kerjasama serantau melalui Deklarasi ASEAN di Bangkok pada 8 Ogos 1967.

Pada hakikatnya usaha ke arah kerjasama serantau telah pun bermula selepas Perang Dunia Kedua dengan terbentuknya beberapa kesatuan atau pakatan di antara negara-negara di Asia Tenggara. Di peringkat ini kerjasama serantau adalah ke arah usaha bagi mengekalkan kestabilan politik dan memulihkan ekonomi yang musnah akibat peperangan. Namun jangka hayat pertumbuhan serta pakatan ini adalah singkat oleh kerana konflik antara negara anggota. Di antara pertubuhan yang dibentuk pada masa itu ialah Pertubuhan Asia Tenggara (ASA), MAPHILINDO dan The Asian and Pasific Council (ASPAC).

Asia South East Association (ASA)

Pada 30 Julai 1961, ASA telah dibentuk hasil pertemuan Menteri-menteri Luar tanah Melayu, Filipina dan Thailand di Bangkok. Tujuan utama pembentukannya ialah untuk meningkatkan kerjasama sosio-ekonomi, kebudayaan serta pentadbiran. Walau bagaimanapun ASA telah gagal bertahan lama akibat daripada kelemahan struktur organisasi serta konflik yang kian memuncak di antara negara anggota terutamanya tuntutan Filipina ke atas Sabah dan konfrantasi Malaysia-Indonesia pada tahun 1963.


MAPHILINDO

Maphilindo telah ditubuhkan pada 31 Julai 1963 hasil cadangan Presiden Macapagal dari Filipina dan anggota Malaya, Filipina dan Indonesia. Namun akibat timbulnya konflik dalaman dan luaran antara negara-negara anggota telah membawa kepada kegagalan MAPHILINDO. Penubuhan Malaysia telah membawa tentangan hebat daripada Filipina yang menuntut haknya ke atas Sabah yang didakwa sebagai wilayah warisan Kesultanan Sulu. Begitu juga dengan Indonesia yang turut menentang oleh kerana adanya cita-cita Presiden Sukarno untuk mewujudkan “Indonesia Raya” melalui penggabungan semua kepulauan Melayu.

Pembentukan Malaysia dilihat sebagai halangan utama cita-cita beliau dan dianggap sebagai satu bentuk imperialisme dan dasar kolonialisme Barat ke atas negara-negara di Asia Tenggara. Konflik semakin nampak dengan pemisahan Singapura daripada Malaysia di atas alas an perbezaan sistem dan keinginan untuk mencapai kemerdekaan. Lantaran itu akibat konflik yang berlanjutan, MAPHILINDO akhirnya turut berkubur.

ASPAC

Tahun 1966 menyaksikan pembentukan satu lagi pertubuhan baru iaitu ASPAC yang dianggotai oleh Malaysia, Filipina, Thailand, Australia, Jepun, Taiwan, New Zealand, Korea Selatan dan Vietnam Selatan. Tumpuan pertubuhan ini ialah untuk menggalakkan kerjasama serantau di dalam bidang ekonomi, social dan kebudayaan di kalangan negara-negara Asia PAsifik. Seperti pertubuhan lain, ASPAC juga mengalami kegagalan, oleh kerana pertubuhan ini dikatakan tidak menggambarkan kerjasama serantau yang sebenarnya dengan adanya keanggotaan negara luar dari Asia Tenggara. Pada tahun 1975, ASPAC telah dibubarkan, namun ia telah memberi idea bagi pembentukan pertubuhan kerjasama serantau yang lebih mantap di Asia Tenggara.


Hasil daripada senario politik yang telah dinyatakan satu perbincangan rasmi telah diadakan di antara wakil kerajaan Malaysia, Indonesia dan Thailand di Bangkok pada 29 Mei hingga 1 Jun 1966. Tujuan perbincangan ini adalah untuk mewujudkan hubungan dan kerjasama yang lebih erat di kalangan negara-negara Asia Tenggara. Perbincangan seterusnya diadakan di antara menteri-menteri Luar Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina dan Thailand pada awal tahun 1967 di Bangkok telah merintis jalan ke arah pembentukan satu pertubuhan kerjasama serantau.

Akhirnya ASEAN telah ditubuhkan melalui Deklarasi Bangkok pada 8 Ogos 1967 dengan tujuan utama untuk mewujudkan kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi, sosial dan kebudayaan demi kestabilan dan keamanan rantau Asia Tenggara.

OBJEKTIF PENUBUHAN ASEAN

ASEAN ditubuhkan dengan matlamat utama untuk kepentingan bersama serta mewujudkan kerjasama serantau dari segi politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan. Melalui konsep kolektif ini, negara-negara anggota ASEAN berkongsi tanggungjawab untuk memajukan tingkat sosio-ekonomi dan memastikan kestabilan serta keamanan serantau yang bebas daripada ancaman dan pengaruh kuasa luar.

Deklarasi Bangkok yang ditandatangani pada 8 Ogos 1967 telah menggariskan objektif utama ASEAN iaitu:

Mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan pembangunan kebudayaan serantau melalui usahasama dalam semangat keamanan dan persahabatan demi mengukuhkan keamanan dan kesejahteraan seluruh komuniti di Asia Tenggara.

Mewujudkan keamanan dan kestabilan serantau menghormati keadilan dan undang-undang di dalam hubungan antara negara serta mematuhi prinsip-prinsip Carta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Mewujudkan kerjasama aktif dan saling membantu ke atas perkara-perkara kepentingan bersama dalam bidang ekonomi, sosial, kebudayaan, teknikal, saintifik dan pentadbiran.

Mengadakan kerjasama yang lebih berkesan untuk meningkatkan lagi aktiviti pertanian dan industri, meluaskan perdagangan dan komoditi antarabangsa, meningkatkan pengangkutan serta komunikasi dan taraf rakyat.

Mengekalkan kerjasama erat dengan organisasi antarabangsa dan serantau yang mempunyai matlamat sama serta mencari jalan merapatkan lagi kerjasama dengan mereka.

KERJASAMA ASEAN BAGI MENANGANI PELBAGAI ISU

Kerjasama serantau telah mula dipupuk semenjak di awal penubuhan ASEAN bagi menangani pelbagai isu. Kerjasama ini meliputi bidang yang luas iaitu politik, ekonomi, sosial kebudayaan, penerangan, pendidikan dan juga keselamatan. Di dalam bidang politik dan keselamatan misalnya, ASEAN amat menekankan konsep berkecuali sehingga melahirkan ZOPFAN. Pembangunan ekonomi negara-negara ASEAN juga turut mendapat perhatian dengan adanya perjanjian serta terbentuk badan-badan khas dalam menanganinya. Begitu juga kerjasama sosial, kebudayaan, pengangkutan dan komunikasi turut menjadi agenda utama ASEAN.

Namun ASEAN juga turut mengalami beberapa isu yang mengancam untuk menggugat perpaduannya. Di antaranya ialah perisytiharan Zon Ekonomi Eksekutif yang membangkitkan isu pertindihan sempadan laut antara negara anggota. Hal ini telah mengakibatkan konflik tuntutan hak ke atas beberapa buah pulau di sempadan perairan iaitu Pulau Spratly dan Pulau Batu Putih (telah diselesaikan di mahkamah antarabangsa).

Walau bagaimanapun ASEAN terus meningkatkan usaha agar kepentingan-kepentingan national tidak menjadi penghalang ke arah kerjasama yang lebih kukuh antara mereka. Di antara kerjasama yang dilakukan oleh ASEAN ialah:

ISU POLITIK DAN KESELAMATAN ASEAN

Isu politik dan keselamatan telah membawa kepada beberapa resolusi penting yang digunapakai oleh negara anggota ASEAN. Di antaranya ialah Zon Of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN), Treaty of Amity dan Cooperation in SEA (TAC), Declaration of ASEAN CONCORD dan Treaty on the South East Asia Nuclear Weapon-Free Zone (SEANWFZ).

ZOPFAN yang telah diisytiharkan dalam tahun 1971 menekankan semangat keamanan serta komitmen ASEAN untuk menjadikan rantau ini bebas daripada sebarang campur tangan kuasa luar. TAC merupakan ‘a code of international conduct’ yang memberi garis panduan perhubungan di antara negara-negara di rantau ini mengikut ketetapan Piagam PBB. ASEAN Concord yang diisytiharkan pada 1976 mengandungi prinsip-prinsip serta rangka kerja bagi kerjasama ASEAN dalam bidang politik, keselamatan, ekonomi dan fungsional. Sementara itu SEANWFZ merupakan sumbangan ASEAN ke arah usaha mengadakan perlucutan senjata nuklear sepenuhnya.

ASEAN Regional Forum (ARF) telah dibentuk pada tahun 1994 dan berperanan sebagai forum perundingan bertujuan ke arah mewujudkan ‘preventive diplomacy’ dan membina keyakinan di kalangan negara-negara di Asia Pasifik. Forum ini diwakili oleh sembilan ahli anggota ASEAN, Kemboja sebagai pemerhati, sepuluh sekutu dialog serta Papua New Guinea sebagai pemerhati kemputan. ARF telah bersetuju dengan tiga (3) peringkat pendekatan ke arah kerjasama iaitu:

(i) Membina keyakinan di kalangan negara anggota;
(ii) Mewujudkan ‘preventive diplomacy’
(iii) Memperkembangkan pendekatan menangani konflik


ISU EKONOMI ASEAN.

Ekonomi juga telah menjadi perkara penting di dalam polisi ASEAN semenjak penubuhannya. Semenjak berakhirnya Perang Dunia Kedua (WWII), kebanyakan negara di Asia Tenggara mengalami kemelesetan ekonomi disebabkan sekatan ekonomi dari kuasa besar. Maka, negara-negara di Asia Tenggara merasakan perlunya menjalinkan kerjasama bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi dan perdagangan di rantau ini. Bermula dengan beberapa aktiviti ekonomi di tahun-tahun 1960-an, kini kerjasama ekonomi semakin meluas di kalangan negara anggota ASEAN. Ini jelas dilihat dari komitmen yang kuat negara-negara ASEAN untuk menjadikan rantau ini sebagai kuasa ekonomi yang kuat dan dinamik.

Kerjasama ekonomi ASEAN meliputi usaha-usaha liberalisasi dan kemudahan perdagangan serta aktiviti pelaburan. Keputusan-keputusan tegas juga telah diambil untuk meningkatkan dan mengukuhkan kerjasama industri melalui satu skim baru yang mengambilkira keperluan industri serta keadaan ekonomi serantau ASEAN. Kemajuan juga telah dicapai di dalam kerjasama untuk memajukan sektor swasta dan perniagaan bersaiz kecil serta pertengahan.

Antara matlamat kerjasama ekonomi ASEAN di tahun 1990an termasuklah untuk:

v Melaksanakan AFTA sepenuhnya;
v Membangunkan rantau ini sebagai ‘global base’ bagi pengeluaran barangan yang bermutu dan menggunakan teknologi canggih untuk pasaran di Asia Tenggara;
v Meningkatkan keberkesanan industri rantau ini berdasarkan prinsip-prinsip ‘market sharing’ dan ‘resource pooling’;
v Meningkatkan daya tarikan rantau ini sebagai kawasan pelaburan serta destinasi pelancongan;
v Bekerjasama untuk meningkat lagi pembangunan infrastruktur yang dapat menyumbang ke arah suasana perdagangan yang lebih berkesan;
v Memastikan sumber-sumber yang banyak di rantau ini digunakan dengan efektif dan efisyen.

Kejayaan kerjasama ekonomi ASEAN merupakan hasil daripada kebijaksanaan dan ketegasan keputusan yang diambil semasa Deklarasi Bangkok pada tahun 1967, Deklarasi ini telah meletakkan asas kepada kerjasama ekonomi dan antara lain telah menekankan matlamat serta tujuan berikut;

- mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan pembangunan kebudayaan di rantau ini.

- Menggalakkan kerjasama aktif serta saling membantu di dalam hal-hal kepentingan bersama di bidang ekonomi, sosial, kebudayaan, teknikal, saintifik dan pentadbiran.

- Bekerjasama secara lebih efektif untuk meningkatkan penggunaaan sumber pertanian dan industri di rantau ini, meluaskan perdagangan, memperbaiki kemudahan pengangkutan serta komunikasi dan meningkatkan taraf hidup rakyatnya.

Langkah paling signifikan yang telah diambil untuk meningkatkan perdagangan di ASEAN merupakan pembentukan ASEAN Free Trade Area (AFTA) semasa Persidangan Kemuncak Keempat pada tahun 1992. Objektif utama AFTA adalah untuk meningkatkan kedudukan ASEAN sebagai ‘competitive production base’ untuk memenuhi pasaran dunia. Ini diharapkan dapat dicapai melalui perluasan perdagangan intra-ASEAN dan juga pengaliran masuk pelaburan luar secara terus.

The Common Effective Preferential Tarif (CEPT) Scheme merupakan mekanisma utama dalam merealisasikan AFTA. CEPT telah dilancarkan pada 1 Januari 1993 dan meliputi produk pengeluaran serta pertanian. Skim ini memerlukan pengurangan tariff bagi semua produk di dalam ‘Inclusion List’. Pengurangan tariff ini bermula semenjak tahun 1994 dan menjelang tahun 2003 tarif untuk semua produk di dalam ‘Inclusion List’ seharusnya tidak melebihi 5%.

ISU ALAM SEKITAR ASEAN

Pencemaran udara yang menyelubungi kebanyakan negara di ASEAN telah menyebabkan negara anggota mengadakan pertemuan bagi menangani isu pencemaran udara. Selain pencemaran udara, keprihatian ASEAN terhadap alam sekitar jelas terbukti apabila sering mengadakan pertemuan bagi menangani isu alam sekitar. Kerjasama ini bermula pada tahun 1977 apabila ASEAN Sub-regional Environment Programme (ASEP) disediakan. Di bawah kerjasama alam sekitar ini, ASEAN telah menubuhkan ASEAN Experts Group on the Environment (AEE) dan telah mengadakan pertemuan pertamanya di Jakarta pada bulan Disember 1978.

Aktivitinya termasuklah penjagaan laut dan hidupan laut, alam semulajadi, pencemaran udara dan sebagainya. Usahanya adalah ke arah mengimbangi di antara penjagaan alam sekitar dengan pertumbuhan ekonomi. Salah satu isu alam sekitar yang sering melanda negara ASEAN ialah berkaitan pencemaran udara (pembakaran terbuka).

Pembakaran terbuka dikesan berlaku di kawasan tapak perlupusan sampah, sisa pepejal di kawasan industri dan tapak pembinaan, sisa perladangan, sisa kebun serta pembakaran di hutan simpan. Keadaan pencemaran menjadi lebih serius pada musim panas yang berpanjangan kerana ia turut menyumbang kepada masalah jerebu yang menjejaskan kesihatan awam dan mengurangkan jarak penglihatan. Masalah jerebu yang melanda Malaysia pada 1997 menyebabkan hampir seluruh negara seolah-olah diselubungi asap. Malaysia misalnya, memandang serius isu pembakaran terbuka ini sehinggakan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembakaran terbuka oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) di seluruh negara.

Di peringkat ASEAN, Persidangan Antarabangsa mengenai bahaya kebakaran Hutan dan Tanah 2002 pada Jun lalu mencapai kata sepakat mengadakan kerjasama melalui perjanjian bagi menangani masalah pembakaran hutan dan tanah yang pernah menyebabkan jerebu paling teruk di rantau ASEAN. Komitmen daripada negara-negara anggota dilihat sebagai usaha positif ke arah menangani dan memerangi masalah kebakaran terbuka dan jerebu. Perjanjian berkenaan ditandatangani menteri yang bertanggungjawab mengenai alam sekitar, menggariskan komitmen negara-negara anggota menangani masalah berkaitan pada peringkat kebangsaan dan serantau.

Perjanjian ini antara lain mengkehendaki negara-negara anggota bekerjasama mencegah jerebu melalui kawalan kebakaran, mewujudkan sistem amaran awal, bertukar-tukar maklumat dan teknologi serta menyediakan bantuan bersama. Perjanjian itu lebih kepada usaha sama negara-negara anggota dan bukan bertujuan menghukum negara anggota yang melanggar perjanjian berkenaan. Malah ia lebih tertumpu kepada bentuk kerjasama yang jelas menyatakan negara anggota perlu memberi bantuan kepada rakan lain.
Perjanjian itu adalah sebahagian antara Pelan Tindakan Jerebu Serantau yang diterima pakai oleh ASEAN selepas masalah jerebu yang teruk pada 1997 dan 1998 sehingga menyebabkan kerugian ekonomi sekitar RM34.2 billion (USD9 billion) termasuk menjejaskan pengeluaran pertanian dan sektor perlancongan.

KERJASAMA DAN HUBUNGAN DENGAN NEGARA LUAR

Komitmen ASEAN untuk meluaskan hubungan luarnya telah dimulakan semenjak Persidangan Ketua-ketua Negara ASEAN yang pertama di Bali pada tahun 1976. ASEAN telah melahirkan kesediaanya untuk mengadakan hubungan dan kerjasama yang akan memberi keuntungan bersama dengan negara-negara laini di rantau ini.

Kumpulan negara pertama yang menjadi fokus hubungan luar ASEAN merupakan negara rakan perdagangan utamanya. ASEAN telah mengadakan hubungan dialog sepenuhnya dengan Australia, Jepun, New Zealand, UNDP, USA, EU dan banyak lagi.

Hubungan dialog ASEAN telah berjaya menggalakkan perdagangan serta pelaburan, memberi kemudahan pemindahan teknologi dan pengetahuan, juga memudahkan kemasukan produk ASEAN ke dalam pasaran rakan-rakan dialognya. Ia juga membolehkan ASEAN mengadakan dialog tentang isu-isu serantau dan global dengan negara-negara utama dunia. Selain daripada itu hubungan tersebut telah dapat memastikan ASEAN mendapat bantuan pembangunan dan teknikal.

Kerjasama ekonomi telah menjadi bidang kerjasama yang paling penting di dalam hubungan ASEAN dengan rakan dialognya. Kerjasama ekonomi ASEAN meliputi bidang perdagangan dan pelaburan, pembangunan industri, pemindahan teknologi, tenaga, komunikasi, pengangkutan dan pelancongan. Di antara kerjasama yang dijalankan dengan negara luar ASEAN ialah; ASEAN-Amerika Syarikat, ASEAN-Australia, ASEAN-European Union, ASEAN-Republic Rakyat China (RRC), dan ASEAN – Kanada.

ASEAN – AMERIKA SYARIKAT

Dialog ASEAN Amerika Syarikat telah wujud secara formal pada tahun 1977. ia menumpukan kepada penyertaan aktif sektor swasta di dalam meningkatkan kerjasama. Melalui projek ASEAN Private Investment and Trade Opportunities (PITO), kerjasama pembangunan serta perdagangana dan pelaburan telah dapat diperkukuhkan.

Perdagangan ASEAN – Amerika Syarikat dirancakkan lagi dengan permbentukan US-ASEAN Business Council. Majlis ini merupakan organisasi swasta utama yang mewakili kepentingan sector swasta di Amerika Syarikat. Majlis ini bertujuan untuk meluaskan kedudukan persaingan Amerika Syarikat dalam bidang perdagangan dan pelaburan di rantau Asia Tenggara. Ia menyediakan maklumat penting, serta mengadakan program-program untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan sektor swasta di negara anggota ASEAN.


ASEAN- EUROPEAN UNION

European Union (EU) merupakan rakan dialog ASEAN yang terawal di mana hubungan telah dimulakan secara tidak formal pada tahun 1972 dan menjadi formal dalam tahun 1980 melalui ASEAN-EU Cooperation Agreement.

Ianya merangkumi bidang yang luas iaitu termasuk perdagangan, perniagaan dan pelaburan, kepiawaian, hak-hak “intelectual property”, sains dan teknologi, alam sekitar, pembangunan sumber manusia, kawalan narkotik dan hubungan institusi.

Perjumpaan sering diadakan di antara Menteri-menteri Luar ASEAN dan EU serta Pegawai-pegawai Tinggi kedua-dua belah pihak bagi menetapkan arah tujuan hubungan ASEAN-EU serta mengendalikan kerjasama keduanya di dalam pelbagai bidang.

Hasil daripada hubungan ASEAN –EU maka lahirlah Asia Europe Meeting (ASEM) yang telah mengadakan Persidangan Kemuncak pertamanya pada bulan Mac 1996 di Bangkok. Sementara itu Menteri-menteri Luar ASEAN-EU telah mengadakan Foreign Minister Meeting di Singapura.

Antara kejayaan ASEAN-EU ialah berjaya menggalakkan pengaliran perdagangan dan pelaburan kedua-dua rantau, berjaya memperhebatkan pembangunan industri di mana lebih banyak penglibatan institusi kewangan EU di dalam projek-projek ASEAN dan pemindahan teknologi serta pengetahuan dari eropah. Melalui ASEAN –EU juga, lahirlah Asia Invest, European Business Information Centres (EBICs), ASEAN-EU Partnariat.


KESIMPULAN

Beberapa senario politik di Asia Tenggara pada pertengahan tahun 1960an telah menjadi faktor pendorong ke arah pembentukan pertubuhan serantau. Tercetusnya perang Vietnam pada tahun 1965 telah menyedarkan negara-negara di Asia Tenggara tentang peri pentingnya kerjasama dan perpaduan serantau bagi mengelakkan campur tangan kuasa luar. Perubahan pucuk pimpinan di Indonesia yang seterusnya menamatkan konfrantasi Malaysia-Indonesia telah berjaya mengurangkan ketegangan di Asia tenggara. Begitu juga dengan perlantikan Marcos sebagai Presiden Filipina telah mendinginkan isu tuntutan ke atas Sabah.

Lantas ini memungkinkan lagi wujudnya kerjasama sosio-ekonomi dikalangan negara-negara serantau. Ini ditambahkan lagi dengan keinginan untuk menjadikan Asia Tenggara sebagai kawasan aman dan stabil serta bebas daripada campur tangan kuasa-kuasa besar yang mahu meluaskan pengaruh masing-masing. Akhirnya, Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) telah ditubuhkan pada tahun 1967 oleh negara-negara pengasas yang terdiri daripada Malaysia, Filipina, Singapura, Indonesia, dan Thailand.

Bagi menangani pelbagai isu yang melibatkan negara anggota dan negara luar, ASEAN dilihat lebih banyak menerima teori Idealisma di mana sering mengadakan kerjasama antara negara anggota dan kesatuan luar serta organisasi antarabangsa. Misalnya bagi isu politik dan keselamatan, ASEAN telah mewujudkan ASEAN Regional Forum (ARF) yang berperanan sebagai forum perundingan bertujuan ke arah mewujudkan ‘preventive diplomacy’ dan membina keyakinan di kalangan negara-negara di Asia Pasifik. ZOPFAN pula menekankan semangat keamanan serta komitmen ASEAN untuk menjadikan rantau ini bebas daripada sebarang campur tangan kuasa luar.

Isu ekonomi juga turut diselesaikan dengan baik oleh ASEAN. Kerjasama ekonomi ASEAN meliputi usaha-usaha liberalisasi dan kemudahan perdagangan serta aktiviti pelaburan. Antara kejayaan ASEAN meningkatkan pertumbuhan ekonomi ASEAN ialah dengan wujudnya AFTA, Membangunkan rantau ini sebagai ‘global base’ bagi pengeluaran barangan yang bermutu dan menggunakan teknologi canggih serta meningkatkan keberkesanan industri rantau ini berdasarkan prinsip-prinsip ‘market sharing’ dan ‘resource pooling’.

Jelas di sini bahawa penubuhan ASEAN bukan lagi sia-sia seperti mana yang telah dikatakan oleh sesetengah pihak. Hasil jalinan kerjasama yang erat antara negara anggota dan kerjasama luar dengan organisasi antarabangsa, kini ASEAN menjadi sebuah pertubuhan yang disegani dan malah menjadi rakan dialog bagi pertubuhan serantau yang lain.

No comments:

Post a Comment